Ahad, 25 Disember 2011

1. Kau, Tak Kan Pernah Terganti.

Assalamualaikum.

   Aku bukanlah seorang penulis, kalamku tak bersuara, penaku tak berdakwat. Hanya tersisa padaku, ialah cerita-cerita masa lampau, yang sempat kukutip, tatkala rembang petang menutup harinya.

  Aku bukanlah seorang penulis, aku penglipurlara, aku hanyalah membawa cerita engkau, manusiawi yang paling dekat dengan hatiku, kerana kau, tak kan pernah terganti.

MYI

Muhammad Yusuf Ibrahim.

Assalamualaikum.

   Muhammad Yusuf Ibrahim bukanlah nama sebenarku, sepenuhnya. Namun, itu hasil gabungan nama tiga orang Rasul yang sangat hebat, yang diutus oleh ALLAH subhanahu wa ta'ala, dua daripadanya tergolong sebagai ulul 'azmi.

Iya, Muhammad namaku, diberi oleh Ummi dan Abah yang kucintai sepenuh hatiku. Mengambil barakah nama penutup sekalian Nabi dan Rasul, Muhammad sallahu 'alaihi wa sallam. Hidupnya perjuangan untuk ummatnya.


Nabi Yusuf sedari kecil diasak cubaan, dibuang adik beradiknya, dijual sebagai budak hamba, difitnah dengan nafsu, namun akhirnya diangkat Allah sebagai pemimpin Mesir yang hebat.


Nabi Ibrahim mencari ALLAH sejak meningkat usia, menghancurkan berhala dan mencabar orang kafir, diuji dengan pelbagai dugaan, dan daripadanya dilahirkan keturunan yang mulia.

MYI